Thursday, August 18, 2011


BAB 4 PERSPEKTIF PEMIKIRAN DAN TEORI KUASA DAN POLITIK DALAM PENGURUSAN ORGANISASI

4.0 PENGENALAN
Organisasi merupakan satu sistem yang rasional dengan matlamat yang telah ditetapkan. Proses pengurusan organisasi dikuasai oleh proses membuat keputusan. Ahli-ahli dalam organisasi telah ditetapkan dengan fungsi tertentu melalui peraturan dan undang-undang. Strukturnya diselaraskan dengan persekitaran teknologi dan bersesuaian dengan kepakaran ahli-ahlinya.

Perspektif perhubungan manusia melihat organisasi mengarah kepada sistem yang rasional dan menumpukan terhadap had dan kesukaran individu dalam melaksanakan autoriti. Tumpuan pemikiran pula adalah terhadap perbezaan dan ketidaksamaan antara kehendak organisasi dengan kehendak individu. Perspektif struktur melihat konflik antara individu dengan organisasi sebagai tidak rasional. Persamaan antara perspektif perhubungan manusia, tumpuan pemikiran dan perspektif strukur adalah tidak menitikberatkan isu-isu kekurangan sumber dan kuasa dalam organisasi yang menjadi rebutan dan ancaman terhadap kestabilan struktur organisasi.

Perspektif kuasa dan politik melihat organisasi sebagai satu pergolakan, berkembang dan dipenuhi dengan arena perebutan kuasa yang melibatkan pelbagai gabungan, kumpulan dan puak. Perspektif kuasa dan politik menganggap konflik dan perebutan kuasa sebagai satu kebiasaan dalam organisasi dan sebagai proses utama sosial dalam organisasi. Fokus terhadap sistem autoriti terutamanya hak membuat keputusan yang dikawal oleh golongan tertentu.

4.1 ANDAIAN – ANDAIAN ASAS PEMIKIRAN & TEORI
Terdapat empat andaian sebagai asas pemikiran dan teori :
i. Sumber jarang-jarang mencukupi dalam organisasi.
Terdapat isu dalam menentukan bagaimana sumber dibahagikan dalam pengurusan organisasi.
ii. Organisasi merupakan gabungan pelbagai individu dan kumpulan dengan hierarki yang berbeza-beza.
Kedudukan, profesionalisme dan kepakaran ahli dalam organisasi adalah berbeza. Ini menimbulkan konflik dan pertentangan bagi menjamin kepentingan masing-masing kerana perbezaan hasrat dan matlamat hierarki ini dalam organisasi.
iii. Individu yang menganggotai organisasi mempunyai perbezaan nilai, kehendak, kepercayaan, matlamat dan tanggapan terhadap realiti sebenar.
Tiap-tiap kumpulan mempertahankan kepentingan masing-masing dalam proses membuat keputusan.
Perubahan untuk mencapai matlamat tertentu sukar dilakukan tanpa melalui proses tolak ansur dan tawar-menawar.
iv. Organisasi membuat keputusan atau menggubal matlamat dengan cara perundingan, tolak ansur dan tawar menawar supaya kedudukan tiap-tiap ahlinya dalam keadaan terjamin dan tidak terancam.

4.2 CIRI – CIRI ORGANISASI
Mengikut perspektif kuasa dan politik, organisasi mempunyai beberapa ciri tertentu :
(i) Gabungan dalam Organisasi
Teori tradisi melihat organisasi sebagai satu kesatuan yang mempunyai matlamat yang jelas. Matlamat dibentuk oleh pihak atasan setelah dipersetujui oleh keseluruhan ahli organisasi tersebut.
(ii) Ciri Perebutan Kuasa dalam Proses Membuat Keputusan
Proses membuat keputusan adalah usaha untuk menyelesaikan konflik di samping memenuhi kehendak tiap-tiap ahli.
(iii) Konflik dalam Organisasi
Konflik dalam organisasi adalah semulajadi dan tidak dapat dielakkan. Punca konflik dalam organisasi disebabkan perkara seperti pembahagian sumber yang terhad, terlampau banyak kenaikan pangkat di peringkat atasan atau segelintir pegawai sahaja diberi keistimewaan dalam membuat keputusan. Kajian tentang konflik dalam organisasi dibahagikan kepada tiga kumpulan teori iaitu teori permainan, teori tawar-menawar dan teori pembentukan gabungan. Teori Permainan merupakan satu set idea apabila digunakan oleh satu pihak akan mengakibatkan kerugian atau keuntungan kepada pihak yang lain. Teori Tawar-Menawar telah banyak dikaji contohnya Boulding (1962), Schelling (1960), Dentsch (1973) dan Rubin dan Brown (1975) kerana teori ini seringkali digunakan dalam perundingan antarabangsa dan perniagaan. Tawar – menawar merupakan isu utama dalam proses membuat keputusan mengikut perspektif ahli-ahli teori ini dan sering berlaku kerana terpengaruh oleh kepentingan kuasa dan politik. Teori Pembentukan Gabungan adalah satu strategi yang dilakukan untuk menyelesaikan konflik dalam pengurusan organisasi dan sebagai langkah untuk memperoleh kuasa yang lebih. Gabungan dibentuk apabila sumber yang ada di kalangan pihak yang bersaing tidak mencukupi bagi memastikan pihak berkenaan akan memperoleh kemenangan.

4.3 PEMIKIRAN AWAL TENTANG KUASA DAN POLITIK DALAM PENGURUSAN ORGANISASI
Dalam membincangkan pengurusan organisasi, terdapat 2 orang ahli pemikir yang membicarakan pemikiran awal tentang kuasa dan politik dalam organisasi iaitu:
(i) Nicholo Machiavelli – The Prince
(ii) Phillip Selznick – TVA

4.3.1 Nicholo Machiavelli – The Prince
Beliau merupakan seorang ahli pemikiran politik dari Itali pada abad ke 15 yang mula-mula melihat penggunaan atau pembabitan kuasa dan politik dalam pengurusan pemerintahan secara terperinci, berdasarkan Buku II Principe yang ditulis oleh beliau. Asas pemikiran beliau terhadap penggunaan kuasa dalam pengurusan pemerintahan bertitik tolak daripada pandangannya bahawa manusia sememangnya bersikap jahat dan bermoral rendah.

Berdasarkan penjelasan oleh Machiavelli, penggunaan kuasa dalam organisasi pemerintahan ialah rakyat jelata mudah dibohongi dan dimanipulasi sokongan mereka menerusi daya tarikan dan pujukan penguasa. Rakyat mudah diyakini jika membuktikan bahawa penguasaan mempunyai kekuasaan yang kuat. Disebabkan ini, maka organisasi pemerintah memerlukan kekuatan sebagai unsur pelengkap dan paling penting dalam politik pemerintahan.

Oleh yang demikian atas kepentingan kekuasaan, politik dan moral bukan merupakan dua bidang yang terpisah dan tidak ada hubung kait antara satu dengan lain. Dalam penguasaan pemerintahan, politik kuasa diutamakan dan tidak ada tempat untuk membicarakan masalah moral kerana yang dipentingkan ialah bagaimana meraih kejayaan dengan memegang kekuasaan. Pengurusan pemerintahan yang cekap han lahir daripada motif politik untuk menguatkan dan meluaskan kuasa.

4.3.2 Phillip Selznick dan Tennessee Valley Authority (TVA)
Kajiannya tertumpu terhadap isu-isu bagaimana matlamat asal program TVA itu telah berubah, bertukar daripada matlamat asal dan disesuaikan dengan kepentingan pihak berkuasa tempatan yang terlibat melaksanakan program tersebut. Selain itu juga kajian ini tertumpu terhadap perebutan kuasa dan kepentingan antara agensi yang terlibat dalam perencanaan dan pelaksaan program pembangunan di Lembah Sungai Tennesse.

TVA adalah sebuah agensi Persekutuan yang ditubuhkan untuk mengawal banjir, sistem pengangkutan dan penjanaan kuasa elektrik di selatan Sungai Tennesse dan anak-anak sungainya. Walaupun program TVA terjejas disebabkan oleh kuasa kawalan yang kuat di kalangan pihak berkuasa tempatan berbanding kerajaan pusat. Ia sedikit sebanyak telah membuka lembaran baru berkenaan pengurusan organisasi iaitu penggunaan kuasa serta penyesuaiannya dengan persekitaran politik dalam pengurusan supaya organisasi terus terjamin.

Selznick menghuraikan peranan kepimpinan secara mendalam sebagai usaha untuk menstabilkan pengurusan organisasi menjadi institusi yang ahli-ahlinya mencurahkan taat setia mereka. Selznick membezakan dua jenis organisasi, pertama, organisasi yang mementingkan proses pentadbiran. Kedua, organisasi yang aktivitinya tertumpu kepada proses penginstitusian iaitu perkembangan organik yang bertujuan untuk disesuaikan dengan kehendak dalaman dan nilai yang terdapat di persekitaran luar. Perbezaan antara organisasi dan institusi dapat dijelaskan dalam jadual 4.1.

Kesimpulannya, kepentingan pemikiran Selznick dalam perkembangan teori pengurusan ialah melihat ciri-ciri politik dan kuasa sebagai faktor utama mempengaruhi pengurusan sesebuah organisasi. Kepimpinan adalah penting sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah konflik kuasa dan politik serta mengawal arah perjalanan sesebuah organisasi.

Jadual 4.1 : Perbezaan antara organisasi dan institusi
BIL. ORGANISASI INSTITUSI
1 Ketat dan mempunyai sumber nilai ahli-ahli dalam organisasi Organisasi sebagai alat: satu alat yang rasional dan teknik. Organisasi dikendalikan oleh juruteknik Institusi sebagai sebuah politik yang nekad dengan tujuan dan identiti yang jelas untuk memenuhi kepentingan dan hasrat ahli-ahli
2 Boleh ubah dan sumber nilai daripada masyarakat luar Organisasi yang longgar dengan kepimpinan tidak mempunyai matlamat yang jelas. Kepimpinan bersifat opportunism Institusi yang dapat menyesuaikan dengan kehendak dan nilai masyarakat

4.4 GOLONGAN TEORI PERMAINAN DALAM PENGURUSAN ORGANISASI
Ahli-ahli teori menyarankan bahawa konflik merupakan proses utama sosial yang mempengaruhi matlamat serta pembuatan keputusan. Berdasarkan kepada ahli teori Pfeffer dan Salancik, menegaskan bahawa sumber adalah faktor utama yang menentukan kuasa pihak pengurusan, terutamanya di kalangan eksekutif. Keberkesanan organisasi menggemblengkan kuasa dan politik dalam organisasi menggemblingkan kuasa dan politik dalam organisasi sebenarnya ditentukan setakat mana organisasi itu berjaya membina satu institusi eksekutif yang kukuh untuk mengawal ketakpastian kewujudan sumber yang terdapat dalam persekitaran luar organisasi tersebut.

Ahli teori seterusnya ialah Michel Crozier yang mana beliau tertarik dengan model birokrasi yang diperkenalkan oleh Max Weber yang mengemukakan pemikirannya bagaimana kuasa danpolitik dapat dijadikan sebagai satu permainan untuk mengukuhkan struktur pengurusan organisasi. Beliau mempamerkan beberapa strategi demi memastikan pengurusan organisasi melalui pembabitan dan tindakan kuasa dan politik. Crozier juga menyarankan bahawa konflik dan pergelutan kuasa dalam organisasi bukanlah satu gejala yang negatif. Sebaliknya, konflik dan pergelutan kuasa merupakan satu syarat atau gejala yang positif ke arah perubahan dan pembaharuan dalam pengurusan organisasi.
Manakala Tannembaum juga menumpukan perhatian kepada hierarki struktur kuasa dalam pengurusan, terutamanya soal sistem kawalan. Dalam usaha mengekalkan kuasa, pihak pengurusan tidak boleh permainan hasil tambah sifar dengan beranggapan bahawa mereka akan dapat menguasai pengurusan secara mutlak kerana ini akan menimbulkan tentangan daripada pihak bawahan. Tannembaum menyarankan bahawa pemegangan kuasa pengurusan tidak seharusnya tertumpu kepada pihak pengurus atasan sahaja. Sebaliknya beliau menyarankan perluasan kuasa secara menyeluruh kepada semua ahli dan tahap hierarki organisasi tersebut. Oleh demikian beliau tidak mempercayai pengurusan kuasa secara terus dari atas hingga ke bawah.

4.5 TEORI PELAKSANAAN DASAR
Bermula tahun 1960, tidak kira di negara-negara dunia pertama atau ketiga, pembangunan merupakan isu utama yang selalu dititik-beratkan bagi memastikan taraf ekonomi dan sosial berada di tahap yang sepatutnya. Sebagai contohnya di Amerika Syarikat, di zaman pemerintahan Lyndon Johnson melalui program The Great Society telahpun dilancarkan yang melibatkan semua jentera kerajaan untuk menjayakan program tersebut. Begitu juga di negara-negara dunia ketiga yang lain turut melaksanakan program pembangunan yang seumpamanya bagi memastikan taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan dengan bantuan dari Bank Dunia. Oleh itu, untuk memastikan pelaksanaan program tersebut berhasil maka, organisasi dan jentera kerajaan hendaklah memainkan peranan yang terpenting sekali.

Namun begitu, kebanyakan program-program tersebut mengalami kegagalan untuk dilaksanakan sepenuhnya dan ada yang terbengkalai separuh jalan sahaja. Ini adalah kerana terdapat perbezaan dari segi matlamat, skop dan haluan program telah berubah dari yang asalnya (Grindle, 1965; Waterston, 1965). Kajian telah mendapati punca utama kegagalan tersebut adalah disebabkan oleh kelemahan dan pertentangan yang wujud serta penglibatan kuasa luar yang telah menyebabkan matlamat bagi program-program tersebut gagal untuk dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, karenah birokrasi yang terlampau cerewet dan ketat juga merupakan antara penyebab perkara tersebut terjadi.

Di sini, timbul pertanyaan mengapakah sesuatu program yang mendapat pembiayaan yang mencukupi dan mendapat sokongan padu oleh jentera kerajaan juga gagal untuk dilaksanakan?. Sehubungan dengan itu, Selznick, 1930-an telah membuat kajian terhadap satu program yang telah dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat iaitu Projek Tannesee Valley Authority (TVA) yang juga telah mengalami kegagalan. Beliau telah mendapati bahawa faktor utama yang menyebabkan kegagalan tersebut adalah kerana perebutan dan pembabitan kuasa dan politik yang wujud di dalam organisasi tersebut.

4.5.1 Teori Pressman dan Wildavsky: “Pelaksanaan sebagai Satu Pengemblengan Politik”.
Pada tahun 1973, Pressman dan Wildavsky telah mengkaji program Economic Development Administration (EDA) di Auckland, California yang bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan mengurangkan kadar pengangguran yang juga telah mengalami kegagalan dan terbengkalai. Sehubungan dengan itu, mereka telah membuat kesimpulan bahawa kegagalan tersebut adalah disebabkan oleh pertentangan kuasa serta pembabitan dan campur tangan politik oleh pihak-pihak tertentu telah menimbulkan masalah yang rumit di antara semua agensi yang terlibat seterusnya menyebabkan semua program yang dirancang telah mengalami kegagalan walaupun mendapat sokongan dana yang mencukupi.

Antara lain penyebab utama kegagalan dalam organisasi EDA adalah disebabkan oleh tekanan politik dan pengaruh dari pelbagai agensi berlainan yang terlibat di dalam pelaksanaanya. Ini kerana, agensi-agensi tersebut mempunyai perspektif yang tersendiri dan berkepentingan secara peribadi. Mereka telah mensasarkan matlamat, cara dan operasi secara sendiri maka, konflik dan pertentangan kuasa telah mula wujud di antara agensi-agensi tersebut. Dengan itu, faktor-faktor tersebut telah menggagalkan ke semua program yang telah dirancang. Di antara faktor-faktor yang mewujudkan konflik kepentingan dan perebutan kuasa adalah:
(i) Ketidaksesuaian dengan perjanjian di dalam organsisasi tersebut.
(ii) Wujudnya kepentingan yang berbeza.
(iii) Terlampau bergantung kepada agensi lain.
(iv) Perbezaan pendapat berkenaan kepimpinan dan peranan agensi.
(v) Perbezaan peraturan dan pandangan antara agensi terlibat.

4.5.2 Teori Eugene Bardach, 1978: “Perlaksanaan sebagai Satu Permainan Politik”.
Selain itu, Eugene Bardach, 1978 pula telah meluaskan lagi konsep pelaksanaan yang telah dipelopori oleh Pressman dan Wildavsky di mana pelaksanaan dasar dan program sebagai suatu proses yang diseliputi oleh permainan politik dan pertentangan kuasa. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan pelaksanaan dasar yang baik di institut atau organisasi, maka perlulah wujudnya suatu hubungan yang rapat dan tindak balas baik dengan semua keadaan samada di dalam bidang politik, organisasi ataupun teknik. Organisasi juga perlulah boleh mengubah, merombak atau memperbaharui sistem yang sedia ada supaya segala-galanya berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.Di antara beberapa strategi untuk menghadapi permasalahan tersebut adalah:
(i) Menghadapi tekanan politik.
(ii) Mengembleng persetujuan.
(iii) Melahirkan proses kawalan pentadbiran.
(iv) Mewujudkan proses tawar menawar.
(v) Mengawal ahli dan sumber.

4.5.3 Teori Donald Warwick: Model Transaksi
Model Transaksi yang telah diperkenalkan oleh Donald Warwick (1977, 1980, 1982) juga telah digunakan untuk mengkaji perencanaan dan pelaksanaan di negara membangun. Model ini adalah berkenaan dengan peranan dan fungsi organisasi yang penting dan peka terhadap unsur perilaku, konteks, isu dan politik yang wujud. Model ini mempunyai 3 aspek utama iaitu:
(i) Mencapai kejayaan yang disasarkan berdasarkan matlamat yang disasarkan.
(ii) Usaha yang dilakukan adalah untuk mencari jalan penyelesaian melalui tolak ansur.
(iii) Tumpuan pengurusan organisasi adalah terhadap hubungan antara dasar, pelaku dan unsur di dalam persekitaran.

Tumpuan pengurusan organisasi yang baik pula seharusnya menyelesaikan 3 aspek utama iaitu:
(i) Bergerak ke arah pencapaian hasil yang baik.
(ii) Bergerak melalui proses perundingan dan taktik untuk menyelesaikan masalah penting.
(iii) Bergerak dengan cara menyelesaikan masalah politik dan kuasa.

Selain itu, Persekitaran Warwick juga mendapati bahawa, karenah birokratik yang terlampau ketat dan kompleks telah mewujudkan perbalahan dan pertentangan di dalam organisasi atau di antara yang terlibat. Sebagai kesimpulannya, keberkesanan pengurusan organisasi adalah ditentukan oleh keupayaan sesuatu organisasi dalam mengembleng tenaga kuasa dan politik yang sentiasa bergolak untuk memberi faedah kepada organisasi secara khususnya.

4.6 STRATEGI PENGUKUHAN PENGURUSAN ORGANISASI MELALUI TINDAKAN KUASA DAN POLITIK
Dalam membincangkan bab ini, banyak cara boleh diguna pakai sebagai strategi. Jika kita berpandukan kepada teori rasional dan struktur maka, tumpuan adalah kepada matlamat sistem, fungsi, tugas dan bagaimana sistem organisasi distrukturkan supaya selaras dengan kehendak ahli-ahlinya. Namun begitu, jika menggunakan perspektif pemikiran sebagai asas strategi pula, maka tumpuan adalah terhadap peningkatan kerjasama, proses pembelajaran, iklim kerja dalam membuat keputusan yang memfokuskan kepada pengurangan konflik antara individu dan organisasi.

Selain itu, pendekatan melalui kuasa dan politik pula menyarankan bahawa proses kepentingan peribadi dan penguasaan kuasa merupakan asas pengurusan organisasi. Dalam realiti sebenar, mengikut perspektif pemikiran dan teori politik, perubahan dan pertentangan akan sering berlaku dari segi perimbangan kuasa hingga mencetuskan perubahan dalam organisasi tersebut. Oleh itu, pengurusan yang ingin membawa perubahan dalam organisasinya perlulah mampu untuk menguasai dan mengembleng kuasa terlebih dahulu, di samping bersedia menghadapi cabaran, konflik dan pertentangan dalam melaksanakan perubahan tersebut.
4.7 PENDEKATAN UNTUK PERUBAHAN DENGAN PEMBAHARUAN PENGURUSAN ORGANISASI
Menurut Gamson (1961-1968) terdapat golongan yang menentukan perubahan dalam organisasi, iaitu:-
(i) Kumpulan autoriti di peringkat atas hierarki organisasi
(ii) Kumpulan pemihak di peringkat bawah hierarki organisasi

Terdapat dua arah perubahan boleh berlaku dalam pengurusan organisasi iaitu:-
a. Perubahan Dari Bawah Ke Atas
(i) Melalui mobilisasi kepentingan ahli-ahli di peringkat bawah yang mendesak pihak atasan supaya mereka melakukan perubahan dalam organisasi.
(ii) Contohnya persatuan pekerja yang mendesak pihak pengurusan supaya meningkatkan kebajikan kaum pekerja malului tindakan tunjuk perasaan, baikot, protes ataupun mogok.
(iii) Pihak atasan pula menentang dengan menggunakan pelbagai mekanisme social, peraturan, undang-undang, tindakan mahkamah, pembuangan pekerja dan menggunakan polis untuk mematahkan demonstrasi.
(iv) Menurut rekod strategi ini banyak menemui kegagalan kerana pihak atasan enggan melayani tuntutan pihak bawahan seperti kata pepatah “kalau hendak pembaharuan, perlu pihak atasan melakukannya terlebih dahulu” ataupun slogan “Kepimpinan Melalui Teladan”.

b. Perubahan Dari Atas Ke Bawah
(i) Bergantung kepada kebolehan dan kemampuan pihak atasan mempengaruhi atau menguasai pihak bawahan supaya menerima perubahan yang dirancang di dalam organisasi.
(ii) Contohnya, pihak pentadbiran daerah mengetahui wujudnya peruntukan persekutuan untuk pembangunan pendidikan daerah.
(iii) Kumpulan pentadbir daerah ini merancang kertas kerja secara tergesa-gesa kerana kesuntukan masa untuk menepati tarikh tutup.
(iv) Apabila peruntukan tersebut diluluskan oleh kerajaan persekutuan dan seterusnya diperingkat perlaksaan menerima bantahan dan kritikan dari kaum guru kerana mereka tidak diajak berbincang terlebih dahulu semasa mengemukakan kertas cadangan itu.

4.7.1 Politik Rekabentuk Organisasi
Disebabkan kelemahan yang terdapat dalam kedua-dua strategi di atas,maka beberapa ahli teori organisasi seperti Galbraith (1973), Mintzberg (1979) dan Lawrence de Lorsch (1967) telah mengemukakan beberapa strategi merekabentuk pengurusan organisasi. Di antara strategi tersebut adalah:-

i. Teori Luar Jangkaan
Struktur organisasi yang baik perlu selaras dengan matlamat asas organisasi di mana struktur organisasinya boleh ubah dan kurang birokratik. Lebih kepada bersifat perhubungan kemanusiaan dan bertimbang rasa

ii. Teori Perspektif Politik [Pfeffer 1978]
Menitikberatkan proses politik dalam menstrukturkan pengurusan organisasi seperti melantik wakil pekerja dalam lembaga pengarah dan wakil tersebut diberi peluang dalam proses membuat keputusan selain itu wakil pekerja tersebut akan memahami masalah pengurusan. Menyentuh 2 strategi yang sering digunakan oleh pihak pengurusan untuk meredakan konflik yang timbul.
a. Strategi pengurusan berpenyertaan dan penyamaan kuasa dalam proses membuat keputusan.
b. Strategi pilih lantik dilakukan apabila dirasakan bahawa penyertaan tidak dapat menjamin kesetiaan pekerja.

4.8 KESIMPULAN: KEKUATAN DAN KELEMAHAN PERSPEKTIF POLITIK
i. Kekuatan Perspektif Politik
Machiavelli yang menyarankan bahawa pengurusan pemerintahan sebenarnya dikuasai oleh motif kuasa dan politik. Keberkesanan organisasi melaksanakan program sebenarnya ditentukan oleh setakat mana pengurusan organisasi berupaya mengemblengkan kuasa politik bagi memperolehi sokongan yang kuat dari awal peringkat perencanaan sehingga ke peringkat pelaksanaan. Alinsky (1971) mengatakan pendekatan politik dan kuasa adalah strategi yang paling realistic dan rasional untuk menyelesaikan masalah pengurusan organisasi.

ii. Kelemahan Perspektif Politik
Bolman dan Deal (1984) mengatakan Perspektif kuasa dan politik terlampau memberi tumpuan terhadap isu politik sehingga mengetepikan pendekatan lain, seperti rasional dan struktur. Perspektif politik ini dianggap sinis dan pesimis. Perspektif ini terlampau menonjol kepentingan pengaruh konflik, sebaliknya mengurangkan peranan kerjasama dan perhubungan.

SOALAN DAN JAWAPAN

1. Nyatakan apakah punca-punca utama yang menyebabkan berlakunya kegagalan di dalam beberapa program pembangunan yang dirancangkan dengan rapi di dalam sesuatu organisasi?
Kebanyakan program pembangunan tersebut mengalami kegagalan untuk dilaksanakan sepenuhnya dan ada yang terbengkalai separuh jalan sahaja adalah kerana terdapat perbezaan dari segi matlamat, skop dan haluan program telah berubah dari yang asalnya (Grindle, 1965; Waterston, 1965). Kajian telah mendapati punca utama kegagalan tersebut adalah disebabkan oleh kelemahan dan pertentangan yang wujud serta penglibatan kuasa luar yang telah menyebabkan matlamat bagi program-program tersebut gagal untuk dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, karenah birokrasi yang terlampau cerewet dan ketat juga merupakan antara penyebab perkara tersebut terjadi. Walapupun sesuatu program mendapat pembiayaan yang mencukupi dan mendapat sokongan padu oleh jentera kerajaan, ia juga gagal untuk dilaksanakan. Antara faktor utama yang menyebabkan kegagalan tersebut adalah kerana perebutan dan pembabitan kuasa dan politik yang wujud di dalam organisasi tersebut.

Antara lain penyebab utama kegagalan dalam organisasi adalah disebabkan oleh tekanan politik dan pengaruh dari pelbagai agensi berlainan yang terlibat di dalam pelaksanaanya. Ini kerana, agensi-agensi tersebut mempunyai perspektif yang tersendiri dan berkepentingan secara peribadi. Mereka telah mensasarkan matlamat, cara dan operasi secara sendiri maka, konflik dan pertentangan kuasa telah mula wujud di antara agensi-agensi tersebut. Dengan itu, faktor-faktor tersebut telah menggagalkan ke semua program yang telah dirancang.

2. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan pertembungan dan perebutan kuasa di dalam sesuatu institut atau organisasi?
Di antara faktor-faktor yang mewujudkan konflik kepentingan dan perebutan kuasa adalah:
(i) Ketidaksesuaian dengan perjanjian di dalam organsisasi tersebut.
(ii) Wujudnya kepentingan yang berbeza.
(iii) Terlampau bergantung kepada agensi lain.
(iv) Perbezaan pendapat berkenaan kepimpinan dan peranan agensi.
(v) Perbezaan peraturan dan pandangan antara agensi terlibat.

3. Huraikan jenis-jenis pendekatan untuk perubahan dan pembaharuan dalam pengurusan organisasi?
Terdapat dua arah perubahan boleh berlaku dalam pengurusan organisasi iaitu:-

a. Perubahan Dari Bawah Ke Atas
(i) Melalui mobilisasi kepentingan ahli-ahli di peringkat bawah yang mendesak pihak atasan supaya mereka melakukan perubahan dalam organisasi.
(ii) Contohnya persatuan pekerja yang mendesak pihak pengurusan supaya meningkatkan kebajikan kaum pekerja malului tindakan tunjuk perasaan, baikot, protes ataupun mogok.
(iii) Pihak atasan pula menentang dengan menggunakan pelbagai mekanisme sosial, peraturan, undang-undang, tindakan mahkamah, pembuangan pekerja dan menggunakan polis untuk mematahkan demonstrasi.
(iv) Menurut rekod strategi ini banyak menemui kegagalan kerana pihak atasan enggan melayani tuntutan pihak bawahan seperti kata pepatah “kalau hendak pembaharuan, perlu pihak atasan melakukannya terlebih dahulu” ataupun slogan “Kepimpinan Melalui Teladan”.

b. Perubahan Dari Atas Ke Bawah
(i) Bergantung kepada kebolehan dan kemampuan pihak atasan mempengaruhi atau menguasai pihak bawahan supaya menerima perubahan yang dirancang di dalam organisasi.
(ii) Contohnya, pihak pentadbiran daerah mengetahui wujudnya peruntukan persekutuan untuk pembangunan pendidikan daerah.

(iii) Kumpulan pentadbir daerah ini merancang kertas kerja secara tergesa-gesa kerana kesuntukan masa untuk menepati tarikh tutup.

(iv) Apabila peruntukan tersebut diluluskan oleh kerajaan persekutuan dan seterusnya diperingkat perlaksaan menerima bantahan dan kritikan dari kaum guru kerana mereka tidak diajak berbincang terlebih dahulu semasa mengemukakan kertas cadangan itu.

4. Nyatakan kekuatan dan kelemahan perspektif politik dalam pengurusan organisasi?

a. Kekuatan Perspektif Politik
Machiavelli yang menyarankan bahawa pengurusan pemerintahan sebenarnya dikuasai oleh motif kuasa dan politik. Keberkesanan organisasi melaksanakan program sebenarnya ditentukan oleh setakat mana pengurusan organisasi berupaya mengemblengkan kuasa politik bagi memperolehi sokongan yang kuat dari awal peringkat perencanaan sehingga ke peringkat pelaksanaan. Alinsky (1971) mengatakan pendekatan politik dan kuasa adalah strategi yang paling realistic dan rasional untuk menyelesaikan masalah pengurusan organisasi.

b. Kelemahan Perspektif Politik
Bolman dan Deal (1984) mengatakan Perspektif kuasa dan politik terlampau memberi tumpuan terhadap isu politik sehingga mengetepikan pendekatan lain, seperti rasional dan struktur. Perspektif politik ini dianggap sinis dan pesimis. Perspektif ini terlampau menonjol kepentingan pengaruh konflik, sebaliknya mengurangkan peranan kerjasama dan perhubungan.

5. Apakah andaian-andaian yang digunakan sebagai asas pemikiran dan teori?
Terdapat empat andaian sebagai asas pemikiran dan teori :
(i) Sumber jarang-jarang mencukupi dalam organisasi.
Terdapat isu dalam menentukan bagaimana sumber dibahagikan dalam pengurusan organisasi.
(ii) Organisasi merupakan gabungan pelbagai individu dan kumpulan dengan hierarki yang berbeza-beza.

Kedudukan, profesionalisme dan kepakaran ahli dalam organisasi adalah berbeza. Ini menimbulkan konflik dan pertentangan bagi menjamin kepentingan masing-masing kerana perbezaan hasrat dan matlamat hierarki ini dalam organisasi.
(iii) Individu yang menganggotai organisasi mempunyai perbezaan nilai, kehendak, kepercayaan, matlamat dan tanggapan terhadap realiti sebenar.
Tiap-tiap kumpulan mempertahankan kepentingan masing-masing dalam proses membuat keputusan. Perubahan untuk mencapai matlamat tertentu sukar dilakukan tanpa melalui proses tolak ansur dan tawar-menawar. Organisasi membuat keputusan atau menggubal matlamat dengan cara perundingan, tolak ansur dan tawar menawar supaya kedudukan tiap-tiap ahlinya dalam keadaan terjamin dan tidak terancam.

RUJUKAN

Abdullah A.S. (1991). Pengurusan Organisasi – Perspektif Pemikiran dan Teori. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mansor F., Tengku Kasim T.S.A. (2008). Pembangunan Modal Insan dari Perspektif Pengurusan Islam. Dicapai pada 15 Februari 2011. Dalam talian http://myais.fsktm.um.edu.my/7543/1/85-109_Fadilah.pdf

No comments:

Post a Comment