Thursday, August 18, 2011


E-Pembelajaran Dalam PTV

1.1 Pengenalan

Bidang teknik dan vokasional merupakan salah satu bidang yang memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat wawasan 2020. Kemahiran dan berilmu pengetahuan adalah salah satu eleman yang penting untuk seseorang individu dalam pendidikan teknik dan vokasional. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merancang dan mengadakan beberapa program bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berpengetahuan dalam bidang teknologi.

KPM melalui Jabatan Pendidikan Teknikal atau JPTek telah terlibat secara langsung dalam memberikan pendidikan berbentuk kemahiran kepada semua rakyat Malaysia bersama-sama industri lain yang berkait rapat dengan bidang kemahiran dan pengetahuan seperti Jabatan Pembangunan kemahiran (JPK), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Komputer dan telekomunikasi memainkan peranan penting dan telah menjadi satu medium yang cukup penting dalam pembelajaran masa kini. E-pembelajaran ataupun pembelajaran elektronik merupakan satu kaedah pembelajaran yang sangat popular digunakan oleh pelbagai pihak termasuklah dalam pendidikan teknik dan vokasional bagi melengkapkan teknik-teknik pembelajaran tradisional. Sebelum ini, e-pembelajaran di Malaysia lebih menjurus kepada pembelajaran atas talian yang kebanyakkannya ditawarkan di peringkat universiti yang menjalankan usahasama dengan universiti luar negara. Inisiatif untuk membangun dan menggunakan e-pembelajaran bermula selepas pelancaran Malaysia East Satellite (MEASAT) dan pelaksanaan Lebuhraya Koridor. Era pendidikan elektronik menjadi salah satu trend masa kini. Pembelajaran elektronik ini kian diaplikasi sama ada pada sistem pendidikan akademik dan sistem pendidikan teknik dan vokasional.

E-pembelajaran boleh berdasarkan media seperti CD-ROM, rangkaian setempat, internet, ataupun intranet. E-pembelajaran biasanya menggunakan elemen-elemen teks, video, audio, animasi, dan persekitaran maya. E-pembelajaran boleh memperkayakan pengalaman belajar yang mampu mengatasi tahap latihan dalam satu bilik darjah. Pendek kata, e-pembelajaran adalah pembelajaran secara hands-on dan mengikut kapasiti diri-sendiri.

E-pembelajaran membantu kita berkomunikasi dengan lebih pantas serta mendapatkan kandungan lebih selaras, terbaru dan terkini mengikut peredaran masa. E-pembelajaran mudah dipraktikkan pada bila-bila masa dan di mana jua. Justeru e-pembelajaran juga dapat membina komuniti dan jaringan pengguna yang lebih besar di samping dapat menjimatkan belanja dan masa. Perkembangan teknologi maklumat telah mewujudkan persekitaran pembelajaran baru yang lebih fleksibel dari segi masa, tempat, kaedah dan bahan proses kolaborasi yang lebih meluas dalam proses pendidikan.

Perkhidmatan teknologi hiperteks memperkenalkan penggunaan World Wide Web (WWW) menerusi talian internet, iaitu aplikasi terkini dalam kecanggihan sistem pendidikan negara. Berikutan perkembangan teknologi ini, e-pembelajaran menjadi penjana kepada kaedah pembelajaran terkini termasuklah pendidikan teknik dan vokasional yang diaplikasi dengan baiknya terutama di sekolah menengah teknik dan pusat-pusat pendidikan teknik dan vokasional. Dengan perkembangan internet ketika ini maka penggunaan laman web yakni internet merupakan salah satu kaedah dalam proses pembelajaran yang sangat penting. Ini kerana ia dapat menukar daripada kaedah penghafalan dan mengingat kembali maklumat kepada mengakses, memanipulasi dan mengenerasikan maklumat secara elektronik seterusnya ia membantu menjana pelajar berfikiran minda yang lebih kritis dan inovatif selaras dengan perkembangan dunia pendidikan teknik dan vokasional pada masa kini.


1.2 Definisi

1.2.1 E-pembelajaran

E-pembelajaran mempunyai pelbagai tafsiran yang boleh merangkumi sebarang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknologi digital elektronik seperti komputer, internet, cakera padat dan sebagainya.
E-pembelajaran ditakrifkan sebagai pendekatan pembelajaran di mana pendidikan, latihan dan maklumat yang berstruktur disepadukan dan disampaikan oleh komputer melalui internet khususnya web, atau dari cakera keras, CD ROM, storan mudah alih berkeupayaan tinggi atau melalui sistem jaringan.

E-pembelajaran boleh dirumuskan sebagai pengaplikasian internet untuk tujuan penyampaian pembelajaran, kemahiran dan pengetahuan dalam pendekatan holistik yang tidak terhad kepada sebarang kursus, teknologi dan infrastuktur.

1.2.2 Pendidikan Teknik

Pendidikan Teknik ditakrifkan sebagai sistem pendidikan yang menyediakan latihan dalam strategi pengajaran dan pengkaedahannya. Pelaksanaan teknikal adalah bersifat hand on. Tujuan Pendidikan Teknik adalah menyediakan tenaga mahir dan separuh mahir dalam bidang-bidang kejuruteraan bagi keperluan industri dan pembangunan negara.

1.2.3 Pendidikan Vokasional

Pendidikan Vokasional ditakrifkan sebagai satu program kurikulum yang direkabentuk untuk memperkenalkan kepada pelajar dunia pekerjaan melalui pendedahan dan pengalaman dalam kerjaya industri dan perdagangan. Objektif Pendidikan Vokasional adalah untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran bagi memenuhi keperluan sektor industri dan perdagangan, membina tabiat bekerja dan sikap yang baik pada diri pelajar, khususnya sikap bertanggungjawab dan kesungguhan supaya menjadi rakyat yang berguna dan produktif dan membina asas yang kukuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknik dan vokasional.

1.3 Perkembangan e-Pembelajaran dalam PTV di Malaysia

E-learning atau pembelajaran elektronik pertama kali diperkenalkan oleh Universitas Illionis di Urbana-Champaign dengan menggunakan sistem instruksi berbasis komputer (computer-assisted instruction) dan komputer pertama diberi nama PLATO (Programmed Logic for Automated Teaching Operations). Sejak saat itu, perkembangan e-learning berkembang sejajar dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa.

Perkembangan ‘e-Pembelajaran’ di Malaysia telah bermula dalam skala besar pada awal tahun 90’an. Situasi ini sebenarnya agak ketinggalan berbanding dinegara-negara lain khasnya di Eropah, U.S dan juga di negara Jepun. Pada masa tersebut , “e-Pembelajaran” banyak terarah kepada pembelajaran jarak jauh dan ‘on-line’ yang kebanyakannya hanya ditawarkan di peringkat universiti serta kolej swasta yang mempunyai usahasama dengan universiti luar Negara. Jika dibandingkan dengan Negara yang maju, ‘e-Pembelajaran’ di negara kita sudah jauh ketinggalan. Sebagai contohnya “e-Pembelajaran” di negara Singapura sudah berkembang dalam bentuk idea membangun secara ‘on line repository’ yang mana ia telah membantu industri pendidikan di negara tersebut untuk membentuk kursus-kursus ‘e-pembelajaran’ yang baru atau ‘new learning parts’ yang memungkinkan kerja-kerja pengeditan secara segera dan on-line.

Oleh yang demikian, bagi mengimbangi keadaan tersebut agenda IT Kebangsaan (NITA) telah dilancarkan pada Disember 1996 oleh ‘National IT Council (NITC) yang dipengerusikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. NITA telah menggariskan panduan bagaimana teknologi maklumat dan komunikasi, ICT dapat digunakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju selaraskan dengan Wawasan 2020. Salah satu inisiatif awal NITC adalah untuk wujudkan Koridor Raya Mltimedia, (MSC). Walaubagaimanapun, perlu ada inisiatif yang perlu dilakukan secara bersama oleh semua pihak bagi merapatkan jurang digital dikalangan masyarakat sebelum semua agenda pembangunan berasaskan ‘e-Pembelajaran’ kebangsaan ini dapat berkembang dengan baik khasnya di dalam system pendidikan negara. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan sektor swasta seperti MIMOS dan Kumpulan Utusan telah dipertanggungjawapkan untuk menjayakan agenda ‘e-Pembelajaran’ kebangsaan.

Gerak kerja ini juga telah melibatkan perubahan kepada dasar utama pendidikan negara khasnyadi dalam aspek pengeluaran sumber tenaga manusia agar dapat menjadi negara maju berasaskan sains dan teknologi tanpa mengabaikan kepentingan pembangunan aspek rohani, jasmani dan emosi selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) untuk melahirkan warganegara yang progresif, dinamik, patriotik dan bersatu padu. Namun begitu, penggunaan “e-Pembelajaran” ini perlu diselaraskan semula ekoran sistem pembelajaran tradisional negara sebelum era 90’an amat berbeza daripada dengan apa yang cuba diperkenalkan oleh sistem “e-Pembelajaran” itu sendiri

1.3.1 Perbezaan Antara Pembelajaran Tradisional dan “e-Pembelajaran”

Di dalam sistem pembelajaran secara tradisional, suasana pengajaran dan pembelajaran adalah jenis berpusatkan tenaga pengajar ataupun “teacher oriented” dengan menekan kepada sistem satu hala. Di sini tenaga pengajar dianggap sebagai orang yang serba tahu untuk menyalurkan ilmu pengetahuan kepada pelajarnya. Terpulang kepada tenaga pengajar sama ada menggunakan ‘konsep suap’, ‘tipu sunat’ atau pelbagai teori yang telah dipelajari dahulu di dalam menjalankan proses pengajaran. Dari aspek modul pengajaran pula ianya hanya bergantung kepada buku teks, persekitaran semasa dan pengajar sahaja bagi mendapatkan sumber. Oleh yang demikian sumber pengetahuan pelajar hanya berkisar kepada tiga perkara ini sahaja.

Keadaan ini amat berbeza di dalam pembelajaran ‘e-Pembelajaran’ dimana fokus utamanya adalah pelajar. Suasana pembelajaran ini akan memaksa pelajar menjadi berdikari dan lebih aktif kerana perancangan pelajaran perlu dilakukan oleh pelajar itu sendiri dengan pengawasan yang minima daripada tenaga pengajar. Di sini pelajar akan membuat perancangan dan mencari maklumat dengan daya usaha dan inisiatif sendiri. Di samping itu dengan adanya “e- Pembelajaran” ini kaedah pembelajaran menjadi lebih menarik kerana ia akan menjadi kaedah pembelajaran berbagai hala. Ini amat berbeza dengan kaedah tradisional yang diamalkan sebelum ini. Pencarian maklumat juga tidak terbatas kerana bahan pengajaran boleh dipilih sendiri oleh pelajar sama ada dirasakan sesuai atau tidak.

1.4 Kelebihan e-Pembelajaran

Pengajaran dan Pembelajaran di dalam Teknik dan Vokasional dengan menggunakan e-pembelajaran sebenarnya mempunyai berbagai kelebihan jika dibandingkan dengan pembelajaran secara konvensional atau tradisional. Dengan munculnya e-pembelajaran, ia sebenarnya memberikan dimesi baru kepada proses pembelajaran sebenar di dalam kelas. Pengajar dalam hal ini iaitu pengajar Sains (Teknik dan Vokasional) banyak menghadapi kesulitan jika di makmal tidak disediakan alat-alat untuk proses kerja amali. Kebanyakan tenaga pengajar sering berangggapan jika tidak ada alat yang tersedia maka sesi amali lebih baik tidak dilaksanakan. Namun begitui jika tenaga pengajar mengamalkan e-pembelajaran sebagai salah satu kaedah penyampaiannya, ia boleh mendapatkan bantuan di dalam internet kerana terdapat banyak animasi interaktif yang menyediakan fasiliti ke atas penggunaan alat-alat amali yang dapat dijadikan sebagai ganti kepada alat sebenar dimakmal. Di sini tenaga pengajar juga boleh terus melayari ke web yang berkaitan dan memuat turun program yang diperlukan.

Alat-alat praktikal yang dirasakan menyumbang kepada peningkatan kos operasi juga boleh digantikan dengan menggunakan animasi komputer sebagaimana yang telah dijalankan dibeberapa pusat pengajian kemahiran khasnya bagi tujuan pengoperasian kapal terbang, pengendalian jentera marin dan penggunaan bahan berisiko tinggi khasnya dalam ketenteraan seperti bahan letupan dan radar. Kaedah ini juga akan membenarkan setiap proses kerja dapat diulang semula mengikut keperluan dan kemampuan pelajar itu sendiri dengan tahap risiko yang rendah. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan kefahaman dan keyakinan kepada pelajar ke atas ilmu yang sedang dipelajarinya terutama yang melibatkan aspek teknikal dan vokasional. Berbanding dengan kaedah biasa, setiap penggunaan peralatan yang mahal dan merbahaya sudah pasti akan dipantau dan dihadkan penggunaannya agar ia tidak akan meningkatkan kos keseluruhan sistem di samping menjamin jangka hayat peralatan tersebut.

Pada masa yang sama juga pengajaran berteraskan teknik dan vokasional akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana pelajar yang dilahirkan mampu untuk mengendalikan teknologi berskala besar dan merbahaya walaupun hanya mengikuti sistem latihan kemahiran di dalam negara. Kesemua kelebihan ini dapat dihasilkan melalui penggunaan “e-Pembelajaran” yang betul dan berkesan. Kelebihan yang paling menonjol dari pembelajaran menggunakan komputer dalam e-pembelajaran adalah dari aspek kemampuan pelajar untuk belajar secara kendiri. Ini boleh berlaku kerana sifat komputer yang lebih personal/individu, dapat membantu pelajar untuk belajar dengan atau tanpa bimbingan langsung dari tenaga pengajar. Di dalam hal ini pembelajaran dengan menggunakan e-pembelajaran, dapat dilaksanakan tanpa perlu kedua pihak untuk bersemuka secara langsung..

Keadaan ini memberi kelebihan kepada sistem itu sendiri di samping dapat membentuk keupayaan kendiri kepada para pelajar seawal di bangku sekolah rendah lagi. Di samping itu juga kaedah ini membolehkan segala bahan pengajaran dan pembelajaran yang dirancang, dapat disediakan secara profesional dan baik. Ini dapat dilihat apabila kaedah penyampaian akan mengunakan ciri-ciri multimedia yang menarik untuk memastikan penyampaian isi kandungan akan lebih berkesan kepada pelajar. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran khasnya bagi program pengajian yang berbentuk teknikal di samping ia akan memudahkan pelajar untuk memahami tujuan pembelajaran kerana dapat melihat kepelbagaian sumber ilmu terutama dalam aktiviti yang melibatkan keperluan simulasi.

Pelajar juga boleh memilih tempat, kandungan dan belajar mengikut kesesuaian masa serta tidak terikat kepada aktiviti di dalam kelas semata-mata. Kaedah “e-Pembelajaran” juga membolahkan pelajar tidak merasa malu untuk bertanya dan berpeluang untuk belajar tajuk yang sama berulang kali sehingga pemahaman mereka tercapai. Di sini kaedah pertanyaan oleh pelajar kepada tenaga pengajarnya juga boleh dibuat secara “on-line”dalam talian atau dengan cara meninggal pesanan kepada tenaga pengajar melalui kaedah sms, e-mail, skype, blog, facebook, twitter dan banyak lagi.

Kaedah ini adalah satu kelebihan kepada semua pihak yang terlibat kerana setiap aktiviti pembelajaran dapat dirancang dengan teratur hasil penggunaan teknologi yang sedia ada di samping meningkatkan kekreativiti samada dari kalangan pelajar ataupun tenaga pengajar. ‘E-Pembelajaran’ yang diuruskan dengan baik dapat menyimpan rekod pembelajaran yang berkesan dan bersistematik untuk rujukan pelajar, guru, mentor atau fasilitator pada masa-masa hadapan sekiranya diperlukan

1.5 Permasalahan dan Isu Dalam E-Pembelajaran

Kajian ini mengkaji permasalahan dan isu yang dihadapi oleh pelajar dalam penggunaane-pembelajaran di institusi pendidikan teknik dan vokasional. Permasalahan di sini didefinisikan sebagai rintangan yang dihadapi oleh pelajar yang akan membawa kesan yang negatif terhadap mereka dalam menggunakan e-pembelajaran di institusi pendidikan teknik dan vokasional. Permasalahan pembelajaran didapati membawa kepada kesan terhadap seseorang individu dalam pembelajaran dan tahap kepuasan.

1.5.1 Permasalahan Situasi

Permasalahan situasi adalah dikaitkan dengan situasi atau persekitaran seseorang itu berada. Pembolehubah yang berkaitan dengan situasi adalah termasuk masa untuk belajar dan perubahan kehidupan seseorang.

Permasalahan yang lain termasuk perasingan, kurang sokongan, persekitaran pembelajaran yang tidak sesuai. Permasalahan seperti kekurangan sosial membawa kepada perasaan terasing adalah selalu disebut kerana ini merupakan cabaran kepada pelajar pendidikan teknik dan vokasional untuk berurus dengan lebih baik dalam pembelajaran atas talian.

E-pembelajaran adalah kurang berinteraksi semuka dan dikatakan adalah tidak mesra, mengecewakan dan kesunyian. E-pembelajaran memerlukan sokongan; kekurangan sokongan daripada orang lain selalu dikatakan merupakan satu permasalahan. Pengurusan sokongan untuk e-pembelajaran adalah faktor utama untuk mengalakkan e-pembelajaran, Pelajar bukan sahaja memerlukan sokongan tetapi juga memerlukan tempat untuk belajar tanpa gangguan. Ini menunjukkan persekitaran untuk pelajar boleh dikira sebagai permasalahan dalam proses pembelajaran.

1.5.2 Permasalahan Teknologikal

Teknologi membawa perubahan sama ada untuk kita bekerja, bermain dan juga kehidupan seharian kita. Teknologi baru mampu merevolusikan kerja, permindahan pembelajaran, mereka infrastuktur pekerjaan dan pembelajaran. Internet merupakan punca kepada pembangunan teknologi pembelajaran di mana ia mampu memperluaskan arena pembelajaran. Internet telah menjadi saksi pertumbuhan yang dinamik dengan membawa banyak perubahan terhadap perniagaan, perindustrian dan komuniti.

Pencapaian yang luar biasa hasil dari teknologi, masalah yang berkaitan dengan teknologi semakin diperhatikan. Perubahan teknologi adalah tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian kita. Teknologi yang baru telah diintegrasi dalam sistem pembelajaran. Teknologi mengakses komputer menjadi isu yang penting dalam pendidikan.

Permasalahan teknologikal adalah termasuk kepunyaan komputer yang mampu mengakses internet, konsisten untuk mengakses internet, kos komputer dan kos pengaksesan internet, masalah teknikal, pengaksesan kepada teknologi dan kebolehpercayaan teknologi. Permasalahan teknologikal yang lain termasuk kualiti teknologi, kekurangan bantuan teknikal, kekurangan kemahiran teknikal, keselesaan penggunaan teknologi, perubahan teknologi dan masalah “log-in”. Ketakutan terhadap teknologi adalah isu yan gutama dalam permasalahan teknologikal, sebanyak satu per tiga daripada pelajar kolej di US menghadapi penyakit “technophobia”.

1.5.3 Permasalahan Institusi

Permasalahan institusi mengambil kira dua aspek iaitu pengajar dan reka bentuk pengajaran dalam pendidikan teknik dan vokasional . Sokongan organisasi dan reka bentuk pengajaran merupakan faktor yang penting dalam e-pembelajaran. Permasalahan institusi berkenaan dengan kurang sokongan daripada pensyarah atau penyelia terhadap penggunaan e-pembelajaran dan kualiti bagi bahan pengajaran.

Polisi institusi memainkan peranan yang penting. Sokongan kepada e-pembelajaran adalah sangat penting dalam polisi institusi. Sokongan institusi seperti memberi sokongan dengan menyediakan masa yang sesuai dan tanpa gangguan untuk pembelajaran, kemudahan untuk e-pembelajaran, sokongan emosi dan kewangan untuk e-pembelajaran.Permasalahan mengenai pengajar juga merupakan aspek yang penting dalampermasalahan institusi. Permasalahan mengenai pengajar meliputi pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku pengajar, pengaksesan kepada pengajar dan kejelasan arahan yang diberikan oleh pengajar. Komunikasi danmaklum balas termasuk kekerapan berhubung dengan pelajar, hubungan pengajar dan kepuasan belajar adalah sangat penting. Maklum balas yang lambat daripada pengajar akan menjadi permasalahan dalam e-pembelajaran.

Permasalahan reka bentuk pengajaran berkait rapat dengan kualiti bahan pembelajaran di institusi pendidikan teknik dan vokasional. Permasalahan bahasa dan kebolehan penggunaan media oleh pengajar akan memberi kesan terhadap penggunaan e-pembelajaran oleh pelajar pendidikan teknik dan vokasional. Kandungan yang terlalu banyak tidak terkini (‘up to date’), kandungan yang mengambil masa untuk mencetak dan informasi berlebihan akan menjadi permasalahan kepada e-pembelajaran.

1.5.4 Permasalahan Personaliti

Permasalahan personaliti memainkan peranan yang penting. Permasalahan ini merangkumi gaya pembelajaran yang berlainan, kemahuan untuk berubah, motivasi, pengurusan masa, masalah kesihatan fizikal dan psikologikal pelajar di institusi pendidikan teknik dan vokasional. Pembelajaran sepatutnya mengambil kira keperluan dan minat pelajar itu sendiri. Oleh itu, gaya pelajar mesti diambil kira semasa menerangkan program e-pembelajaran. Di kelas tradisional, pengajar perlu mengetahui bukan semua pelajar belajar menggunakan kaedah yang sama dan begitu juga e-pembelajaran.

Permasalahan personaliti meliputi pengalaman asas dengane-pembelajaran. minat dan pengalaman pelajar menentukan keperluan dalam alam pembelajaran. Kemahuan pelajar di institusi pendidikan teknik dan vokasional untuk berubah merupakan salah satu permasalahan untuk permasalahan personaliti. Keinginan untuk menerima perubahan dan inovasi merupakan permasalahan kepada pelajar dalam penggunaan e-pembelajaran. E-pembelajaran memerlukan motivasi diri sendiri, dedikasi dan disiplin diri sendiri.

E-pembelajaran biasanya berpandukan kepada diri sendiri. Maka, kemahiran pengurusan masa adalah sangat penting. Masalah kesihatan fizikal dan psikologikal (contohnya ketidakupayaan mata untuk menggunakan computer dalam masa yang lama) merupakan permasalahan personaliti. Tekanan yang wujud daripada tanggungjawab lain di rumah dan sekolah akan menjadi permasalahan kepada e-pembelajaran. Permasalahan ini juga meliputi isu persendirian, sikap dan personaliti seseorang.


1.6 Penutup

Dengan ciri-ciri menarik yang ada pada e-pembelajaran maka ianya patut digunakan dengan meluas di dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula kejayaan agenda’e-pembelajaran’ kebangsaan (NITA) dimana ia telah terbukti keberkesanannya di dalam melahirkan generasi pelajar yang berkualiti bagi tujuan pasaran tenaga buruh negara.

Dalam Seminar Pengajar Kemahiran 2007 berkenaan RMKE-9 & IMP3, terdapat persoalan mengenai apakah persediaan dan cabaran tenaga pengajar masa kini dan Pihak EPU telah mengarahkan semua institusi latihan kemahiran untuk meningkatkan penggunaan e-Learning dalam penyediaan latihan kemahiran.

Rujukan :

Abdul Razak, et al. (2004). Teknologi Maklumat & Komunikasi. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: MzGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.

Ting Kung Shiung (2007). Kajian mengenai penggunaan e-pembelajaran (e-learning) di kalangan pelajar jurusan pendidikan teknik dan vokasional di institusi pengajian tinggi (IPTA) Negeri Johor. Tesis Sarjana: Universiti Teknologi Malaysia.

Suhanom bt. Muhamad Zaki (2004). Hubungan antara Tahap Kefahaman terhadap e-pembelajaran dan Kesediaan Pembelajaran Arahan Kendiri di kalangan Staf Akademik UTM Skudai, Johor. UTM.

Mazimah bt. Hj Samin (2003). Kajian literature : Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat,
Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat. UKM,
Kuala Lumpur.

Rozinah Jamaludin (2007). Internet dalam Pendidikan. USM Pulau Pinang: Penerbit Universiti
Sains Malaysia.

No comments:

Post a Comment