Thursday, August 18, 2011

MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL:
ISU, CABARAN DAN HARAPAN DALAM PENGURUSAN ORGANISASI DAN PERKHIDMATAN DI MALAYSIA

PENDAHULUAN
Dalam era Wawasan Negara (1996 – 2020), telah terbina teras yang menyatakan tentang pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang progresif dan makmur dalam usaha terancang untuk berubah dari sebuah negara membangun kepada sebuah negara maju. Oleh sebab itu, isu, cabaran dan harapan yang berkait rapat dengan pengurusan organisasi dan perkhidmatan di Malaysia telah menjadi salah satu topik perbincangan yang selalu diperbahaskan samada diperingkat kebangsaan mahupun forum-forum anjuran pihak kerajaan dan bukan kerajaan.

Pengurusan organisasi dan perkhidmatan di Malaysia ini sebenarnya berkait rapat dengan kemantapan dan kehebatan sistem pendidikan teknik dan vokasional di dalam negara. Ini kerana sumber manusia yang terlatih dan berkemahiran adalah nadi penggerak utama dan ianya adalah hasil dari sistem pendidikan yang mantap dan baik. Secara tidak langsung kemampuan sumber manusia di dalam pengurusan organisasi dan perkhidmatan telah mengaitkan sistem Pendidikan Teknik dan Vokasional dengan corak kemajuan di dalam sistem pengurusan dan perkhidmatan bagi sesebuah organisasi atau negara khasnya di Malaysia.

Oleh yang demikian, jika Malaysia ingin melihat kemajuan di dalam sistem pengurusan organisasi dan perkhidmatan maka perlulah ada satu gerakan secara tersusun dan bersepadu disemua peringkat untuk memperkasakan sistem latihan teknik dan vokasional sedia ada. Namun begitu, terdapat beberapa isu yang menjadi cabaran kepada usaha untuk memperkasakan sistem latihan teknik dan vokasional. Ini kerana harapan yang tinggi telah diletakkan oleh segenap lapisan masyarakat bagi melihat kemajuan di dalam pengurusan organisasi dan perkhidmatan di Malaysia dapat dicapai secara keseluruhannya.

1.0 PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL (PTV)
Pendidikan teknik dan vokasional merupakan salah satu cabang pendidikan yang ditawarkan pada masa kini. Ia diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan kepada pendidikan sains dan teknologi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di industri di dalam mahupun diluar negara. Bagi merealisasikan program pendidikan teknikal ini, banyak program yang berkaitan telah diwujud dan ditawarkan. Sistem latihan ini juga telah diperkenalkan diperingkat Sekolah Menengah sehinggalah ke peringkat Universiti.

Usaha-usaha ini adalah Ini bagi membolehkan pelajar-pelajar yang berpotensi dilatih untuk menjadi tenaga kerja professional dan separa profesional di dalam pelbagai bidang teknologi dan kejuruteraan. Pendidikan teknik dan vokasional ini sebenarnya dapat membantu pelajar tercicir dalam pelajaran bersifat akademik tetapi berpotensi besar untuk menjadi insan yang cemerlang dalam bidang kemahiran dan seterusnya dapat menjana ekonomi negara secara keseluruhannya.

2.0 DASAR PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL (PTV)
Merujuk Kepada portal rasmi Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Dasar Pendidikan Teknikal dan Vokasional (PTV) di Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk memberikan akses, ekuiti dan Pendidikan yang berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan, kebolehan, minat dan bakat dalam bidang teknik, vokasional dan kemahiran. Dalam program memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional ini, pihak kerajaan berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan pelajar sehingga boleh mengangkat nama dan sistem pendidikan negara di mata dunia. Adalah diharapkan program memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional ini akan dapat mengurangkan kadar keciciran dari sistem persekolahan dan menambah modal insan yang berkemahiran untuk membantu pembangunan negara secara keseluruhannya.

Dasar Pendidikan Negara sememangnya dapat menampung keperluan sumber manusia buat masa ini dan masa depan. Ia adalah selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian. Oleh itu adalah penting rakyat diberikan pendidikan yang seiring dengan keperluan-keperluan kerajaan dan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi kuantitinya tetapi juga dari segi kualitinya.

3.0 ISU-ISU MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL (PTV)
3.1 Pembangunan Sumber Manusia

Perkembangan pertumbuhan ekonomi Malaysia telah berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan yang tinggi sejak tahun 1988, iaitu melebihi 7.5 peratus setahun telah memberi kesan tolakan besar ke atas permintaan tenaga manusia khususnya terhadap tenaga kerja profesional, mahir dan separa mahir (Rahmah & Ishak, 1995). Ini sememangnya dapat memberikan cabaran yang besar kepada sistem pendidikan negara terutamanya untuk pendidikan teknik dan vokasional dalam membekalkan tenaga kerja yang berkebolehan serta mahir. Ini disokong oleh Rancangan Malaysia ke Enam (1991-1995).

Fasa Pertama dalam Rancangan Malaysia ke Enam juga telah menempatkan pembangunan guna tenaga manusia sebagai penekanan aspek utama dan dasar yang strategik bagi membentuk Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian (Siti & Nor Azizah, 1995). Memandangkan tumpuan pembangunan negara adalah lebih ke arah perindustrian dan pembuatan, maka adalah perlu bagi pendidikan teknik dan vokasional menyediakan suatu bentuk sistem pendidikan dan latihan yang seiring dengan keperluan industri serta pasaran semasa. Proses ini bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berkebolehan, bermotivasi tinggi, cekap dan produktif di dalam pengurusan organisasi dan perkhidmatan di Malaysia.

Isahak (1992) menegaskan bahawa tenaga manusia yang diperlukan di dalam pengurusan organisasi yang berasaskan kepada industri tentulah tenaga manusia yang cekap dan profesional, berfikiran terbuka untuk menerima dan mengkaji maklumat dan ilmu serta dapat membuat penyesuaian dengan cepat. Memandangkan aktiviti perindustrian pada masa hadapan adalah berteraskan teknologi tinggi maka adalah sesuatu kemestian bagi pihak kerajaan dan swasta yang terlibat dengan pendidikan teknik dan vokasional ini untuk membuat perancangan yang teliti dan komprehensif demi mewujudkan suatu sistem pendidikan yang baik agar ia dapat mampu memenuhi keperluan semasa.

Walaupun sektor pendidikan dikatakan dapat membantu mengekalkan daya saing negara melalui peningkatan tahap kemahiran penduduk, namun sekiranya perkembangan sektor tersebut tidak selaras dengan keperluan perkembangan ekonomi semasa, maka peranan ini mungkin akan terjejas. Sekiranya perkembangan semasa menuntut kepada sebuah masyarakat yang berteknologi tinggi, maka trend pendidikan yang diwujudkan pada masa ini haruslah berupaya memenuhi tuntutan tersebut. Jika melihat kepada objektif penubuhan sekolah teknik dan vokasional, maka dapat difahami bahawa ianya bertujuan untuk melatih para pelajar dengan ilmu kemahiran dan mendedahkan mereka kepada suasana pekerjaan sebenar. Keadaan ini dapat membantu membentuk satu lapisan tenaga sumber manusia yang hebat di dalam pengurusan organisasi dan perkhidmatan.

Pendidikan teknik dan vokasional juga berperanan sebagai sistem alternatif bagi menyediakan latihan pendidikan bercorak kemahiran pra-vokasional dalam usaha untuk menyediakan mereka memenuhi permintaan pasaran pekerjaan pada masa hadapan. Siti dan Nor Azizah (1995) telah menggariskan beberapa objektif penubuhan sekolah menengah teknik dan vokasional iaitu:

i. Menyediakan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran bagi memenuhi keperluan sektor industri dan perdagangan,
ii. Menyemai sikap bertanggungjawab dan kesungguhan supaya menjadi pelajar yang berguna dan produktif,
iii. Membina asas yang kukuh kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang pengajian teknik dan vokasional dimasa hadapan.
Berdasarkan objektif-objektif tersebut, kita dapat melihat akan kepentingan pendidikan teknik dan vokasional dalam berperanan melatih, seterusnya melahirkan golongan yang mempunyai pengetahuan, sikap dan kemahiran tinggi yang berupaya memenuhi keperluan guna tenaga manusia di negara kita ini. Keadaan ini akan membantu melahirkan pekerja yang mampu untuk memenuhi harapan dalam aspek pengurusan organisasi dan perkhidmatan di Malaysia.

3.2 Memantapkan Sistem Pendidikan Teknik dan Vokasional
Sistem pendidikan vokasioanal perlu kepada perubahan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian keperluan organisasi dan perkhidmatan di Malaysia kerana sehingga kini tidak ada satupun sistem yang boleh dijadikan sebagai formula terbaik untuk menyelesai masalah tahap kemahiran sumber manusia. Keperluannya yang selalu berubah sejajar dengan perkembangan teknologi terkini menyebabkan sistem pendidikan teknik dan vokasional memerlukan kaedah penyelesaian yang lebih dinamik. Usaha-usaha untuk mewujudkan masyarakat Malaysia pada abad ke 21 yang berdaya saing dan berdaya maju telah digariskan di dalam Wawasan 2020. Kesemua usaha ini bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara moden dan maju, sebuah masyarakat industri yang adil, bermoral dan rasional dan mempunyai keperibadian sendiri.

Dalam pembentukan sebuah negara yang maju, sistem pendidikan teknik dan vokasional perlulah mampu untuk melahirkan pelajar-pelajar yang bersedia dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialnya (JERIS). Ini kerana pembangunan pesat berlaku di dalam pelbagai bidang organisasi dan perkhidmatan di Malaysia. Dalam soal ini sistem pendidikan vokasional perlulah dimantapkan lagi. Pada suatu ketika dahulu, sistem pendidikan vokasional hanyalah dianggap sebagai penyelamat kepada pelajar-pelajar yang gagal dalam SRP, tetapi sekarang ini oleh kerana ada tekanan untuk mengeluarkan tenaga pekerja yang berkualiti maka fungsinya terpaksa berubah. Demikian juga dengan terlaksananya sistem PMR mungkin perubahan kecil terpaksa dilakukan.

Untuk mendapat pelajar yang baik, para guru dan pendidik perlulah meningkatkan kemahiran mereka terlebih dahulu. Pendekatan yang diamalkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan di dalam sistem penyampaian pendidikan vokasional juga perlu diubahsuai agar ia selari dengan kehendak organisasi dan perkhidmatan di malaysia.

Ini dapat dilihat dalam ucapan Perdana Menteri Malaysia Y.A.B.Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak iaitu :-

"aspirasi negara untuk mewujudkan sebuah negara maju menjelang tahun 2020 mengikut acuan sendiri memerlukan komitmen yang menyeluruh dan pengurusan kerja yang berkualiti daripada setiap warga pendidik. Selaras dengan tema Hari Guru, guru perlu meningkatkan lagi peranan menyemai rasa tanggungjawab bersama di kalangan pelajar agar mereka menjadi aset dan faktor utama ke arah mencapai cita-cita murni tersebut ".

Di sini jelaslah bahawa para guru termasuklah guru dalam pendidikan teknik dan vokasional perlu menghadapi cabaran masa ini. Di saat-saat kegawatan ekonomi yang sedang hangat diperkatakan, ia turut dirasai oleh para pendidik di seluruh negara. Menurut kata-kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Y. Bhg. Tan Sri Dr. Johari bin Mat :
"Di sebalik segala masalah dan kegawatan yang melanda negara, profesion perguruan di negara ini masih teguh dan utama. Malahan pada saat ini tugas guru telah menjadi lebih penting dan mencabar. Di samping tugas harian guru mendidik anak-anak di bangku sekolah, guru juga dipertanggungjawabkan untuk menanam semangat waja di kalangan para pelajar supaya mereka menjadi warganegara yang lebih cekal dan berwibawa dalam menghadapi rintangan dan halangan bagi mencapai kemajuan dan pembangunan negara".
Walaupun kita sedang menghadapi saat ekonomi yang kritikal, tetapi tugas melahirkan tenaga kerja perlulah diteruskan. Pendidikan secara tidak langsung dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Untuk memantapkan sistem pendidikan guru teknik dan vokasional, maka perlulah diwujudkan satu kurikulum guru vokasional sebagaimana yang dibuat bagi melatih profesyen arkitek, undang-undang dan perubatan. Kursus-kursus perguruan perlu dibuat perubahan agar kaedah mengajar menjadi lebih berkesan dan efisyen.
Sesuatu perlu dilakukan untuk mendapatkan calon yang berkebolehan dan berpendidikan tinggi menyertai profesion perguruan teknikal. Di Jerman profesion perguruan menerima imbuhan yang tinggi kerana untuk seseorang itu diterima sebagai pendidik mereka terpaksa menjalankan latihan yang panjang dan rapi. Keadaan inlah yang memberikan negara Jerman dapat dikenali sebagai salah sebuah negara yang menjadi peneraju kepada perkembangan teknologi terkini khasnya di dalam bidang automotif dan ketenteraan.

3.3 Perkukuhkan Kurikulum Pendidikan Teknik dan Vokasional
Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia Allahyarham Datuk Razali Ismail semasa merasmikan Konvensyen Guru-Guru Vokasional dan Teknik 2008 di Port Dickson, negeri Sembilan mengatakan perlunya ada usaha yang lebih mantap untuk memperkukuhkan kurikulum pendidikan teknik dan vokasional bagi menghasilkan modal insan yang berkemahiran, progresif dan dinamik.

Ini kerana ianya akan menjadi penentu kepada kejayaan bidang teknologi dan industri Negara terutamanya untuk jangka masa panjang.
Kurikulum pendidikan teknik dan vokasional haruslah mampu untuk menghubung-jalinkan elemen ICT, inovasi dan kreativiti. Elemen ini sebenarnya dapat memastikan pelajar lepasan pendidikan teknik dan vokasional mampu untuk berdaya saing dan tidak tercicir apabila mereka memasuki bidang pekerjaan terutamanya apabila terlibat secara langsung dengan pengurusan sesebuah organisasi. Secara tidak langsung ia akan dapat menaikkan nama bidang kemahiran yang tidak hanya tertumpu kepada kemahiran sahaja tetapi ia juga akan melibatkan ICT dan lain-lain element pendidikan.

3.3.1 Hubungan Kerjasama Pintar dengan Industri.

Allahyarham Datuk Razali Ismail juga menyarankan untuk mewujudkan hubungan dengan pihak industri dan swasta dimana dapat menyediakan pelajar dengan pengalaman sebenar di tempat kerja melalui program yang dijalankan bersama dengan pihak industri. Pelajar dihantar ke kilang-kilang untuk mempelajari gaya kerja yang sebenar dan mempraktikkan kemahiran yang dipelajari di sekolah.

Sebagai contoh kerjasama BPTV dengan BIOTRUP-UMS dimana enam sekolah menengah teknik disabah dicadangkan memfokuskan dalam bidang pertanian dengan bantuan BIOTRUP-UMS. Selain itu antara program yang telah dirangka ialah Latihan Sangkutan Industri Guru pendidikan teknik dan vokasional yang bertujuan mendedahkan persekitaran kerja kepada guru dalam mendalami teknologi masa kini yang digunakan industri bagi meningkatkan keupayaan guru dalam mendidik pelajar dalam bidang kemahiran. Perkara ini dilihat dapat menghasilkan tenaga mahir yang kompeten dimana pihak swasta pasti akan akan berusaha untuk mendapatkan pelajar lepasan vokasional untuk bekerja dalam syarikat mereka dan ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan nama pendidikan teknik dan vokasional di mata masyarakat.

Disamping itu, bagi memastikan teknologi yang diajar diperingkat sekolah ataupun institut pengajian tinggi adalah seiring dengan keperluan organisasi dan perkhidmatan semasa maka perhubungan ini dapat dieratkan lagi dengan mewujudkan jawatankuasa penasihat akedemik. Jawatankuasa ini akan melibatkan pihak industri secara langsung di dalam merangka kurikulum diperingkat awal sehinggalah ke peringkat yang tinggi. Keadaan ini akan membantu di dalam melahirkan sumber manusia yang mahir di dalam menguruskan organisasi dan perkhidmatan. Secara tidak langsung ia boleh membentuk sebuah organisasi yang mantap dan berdaya maju apabila menerajui mana-mana organisasi kelak.

3.3.2 Hubungan Kerjasama Antarabangsa
Selain itu, usaha kerajaan membandingkan sistem pendidikan teknik dan vokasional yang dijalankan di dalam negara dengan negara lain akan menjadikan sistem pendidikan teknik dan vokasional lebih berdaya saing. Kerjasama antarabangsa perlu diperluaskan dengan menjalinkan hubungan dengan sekolah cemerlang di luar negara melalui aktiviti seperti pertukaran pelajar, pertukaran tenaga pengajar, perkongsian pintar, program berkembar dan sebagainya. Usaha ini pasti akan dapat memantapkan sistem pendidikan teknik dan vokasional sedia ada.

Dalam jangka masa yang panjang ia dipercayai akan dapat membentuk satu budaya kerja dan tahap kemahiran yang setara dengan keperluan antarabangsa. Secara tidak langsung pengurusan organisasi akan menjadi lebih cekap dan perkhidmatan di Malaysia akan dilihat amat mesra kepada pengguna dan syarikat antarabangsa. Ini akan membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada lepasan pelajar yang mengikuti system latihan dalam pendidikan teknik dan vokasional PTV ini.

3.3.3 Penglibatan Golongan Iltisas dan Kaedah School Enterprice.
Menurut Dato’ Haji Alimudin B. haji Mohd Dom dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga menekankan penglibatan pihak industri dan badan professional di dalam system pendidikan teknik dan vokasional akan membantu pelajar menjadi lebih terbuka dan matang terhadap teknologi semasa. Konsep ini adalah sama dengan konsep School Enterprise yang mengaplikasikan pengetahuan pelajar dengan persekitaran sebenar supaya matlamat untuk menghasilkan pelajar yang kreatif, inovatif, proaktif, berdaya saing dan berdikari dapat direalisasikan. Konsep School Enterprise pasti akan meningkatkan minat dan motivasi pelajar dalam mempelajari pendidikan teknik dan vokasional.
Antara perkara yang akan di tingkatkan melalui sistem latihan ini ialah nilai-nilai keusahawanan.

Ia dilakukan dengan mendapatkan khidmat nasihat dan kerjasama dari badan profesional perakaunan bagi memperkasakan kurikulum keusahawanan pendidikan teknik dan vokasional. Di samping itu juga, tindakan memperluaskan aliran vokasional dan kemahiran juga diambil dengan mewujudkan kembali Sekolah Menengah Vokasional bagi meningkatkan aspek latihan kemahiran. Seterusnya tindakan untuk meningkatkan keberkesanan latihan kemahiran adalah melalui pelaksanaan pembelajaran berteraskan kompetensi. Ia dilaksanakan melalui penglibatan pelajar dalam latihan industri.

3.3.4 Pendidikan Teknik dari Tingkatan satu.
Memperkenalkan aliran berasaskan kemahiran dari seawal tingkatan satu. Hal ini dapat memberikan pendedahan awal kepada pelajar selama tiga tahun persekolahan sebelum memasuki ke tahun empat persekolahan dimana mereka perlu memilih bidang yang diminati mengikut kebolehan mereka. Pendedahan yang awal akan memudahkan pelajar untuk memilih bidang yang sesuai dengan kebolehan mereka. Aliran ini juga merupakan alternatif kepada pelajar yang meminati bidang kemahiran supaya mereka tidak tercicir akibat tersalah memilih bidang yang mereka kurang minat.

Contoh sistem ini boleh dilihat diamalkan di negara Jepun. Di negara tersebut para pelajar telah didedahkan kepada sistem pendidikan vokasional seawal sekolah menengah rendah lagi. Keadaan ini telah memberikan negara Jepun sumber tenaga kerja yang mahir kerana para pelajarnya telah didedahkan dengan sistem latihan kemahiran sejak awal. Sehubungan dengan itu, pengurusan organisasi mereka menjadi mudah kerana mempunyai ramai tenaga kerja yang mahir dan mampu untuk mengendalikan sesuatu tugasan dengan baik. Maka dengan itu bagi system pendidikan Negara masa kini ia perlulah dirombak semula agar ia dapat member peluang kepada pelajar untuk membuat pilihan awal dan mempunyai masa untuk mengubah sekiranya aliran tersebut didapati kurang sesuai dengan minat masing-masing.

3.4 Pembiayaan Pendidikan Teknik dan Vokasional
Perubahan dalam dunia pekerjaan akan membabitkan perubahan dalam struktur kurikulum di sekolah-sekolah. Perubahan ini akan melibatkan kos, masa dan latihan tambahan. Dalam tempoh negara kita menuju ke arah Wawasan 2020, tidak mungkin sistem pendidikan kita dapat menanggung kos beban perubahan tanpa bantuan dari pihak lain. Contohnya Malaysia pernah meminjam US $300 juta atau RM 1.17 billion dari Bank Dunia yang telah ditandatangani oleh Duta Malaysia di Amerika Syarikat pada masa tersebut, Datuk Dali Hashim. Pinjaman ini adalah untuk tujuan membasmi kemiskinan, Kesihatan dan peruntukan pelajaran.
Sistem pendidikan vokasional juga perlu mendapat sumbangan dalam bentuk kewangan atau peralatan.

Pihak swasta perlu digalakkan untuk memainkan peranan mereka dengan menjalankan latihan di tempat sendiri sama ada secara usahasama dengan institusi kerajaan ataupun melalui sumber dalaman. Sumbangan secara terus dalam bentuk peruntukan tetap, biasiswa dan juga pinjaman perlu digalakkan. Sistem pendidikan juga perlu berusaha supaya setiap industri mencarumkan ‘levi’ latihan ke dalam sesuatu tabung dan memastikan setiap industri diwajibkan melatih beberapa orang pelatih mengikut kemampuan dan saiz industri berkenaan. Dengan cara ini pembiayaan latihan dapat dikongsi bersama oleh kerajaan dan sektor swasta.

Kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk menarik minat sektor swasta supaya terlibat secara langsung di dalam mempertingkatkan latihan kemahiran. Ini kerana pendidikan vokasional merupakan satu bidang yang memerlukan sumber kewangan yang besar bagi mengendalikannya. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai dalam Belanjawan bagi syarikat-syarikat yang terlibat di dalam latihan sumber manusia. Secara tidak langsung pengurusan organisasi akan menjadi lebih mudah dan perkhidmatan dapat disediakan dengan lebih baik.Adalah diharapkan dengan adanya insentif seperti ini, penglibatan sektor swasta di dalam latihan dan pendidikan vokasional dapat dipertingkatkan.

3.5 Mewujudkan Piawaian Bagi Program Kemahiran
Pada masa kini pelbagai institusi telah tumbuh dengan pesatnya dengan memperkenalkan pelbagai kursus. Namun begitu kebanyakannya adalah beroriantasikan keuntungan semata-mata. Boleh dikatakan semua institusi mengeluarkan Sijil dan Diploma mengikut takrif mereka sendiri tanpa merujuk kepada sesuatu piawaian yang ditetapkan. Ia akan memberi kesan negatif kepada perkembangan ekonomi dalam jangka masa panjang. Adalah menjadi cabaran kepada sistem pendidikan kita untuk menyediakan piawaian yang menyeluruh di samping mengambil kira perbezaan di antara industri-industri dan lokasi mereka. Dengan cara inilah kemahiran dan pengetahuan asas dapat digunakan dengan berkesan oleh pihak industri.

Pihak swasta juga digalakkan untuk membina institusi yang memberi latihan kemahiran kepada tenaga sumber manusianya sendiri. Namun begitu, kawalan oleh pihak berkuasa amat diperlukan supaya hasilnya akan mempunyai kualiti yang sepadan dengan yuran yang dikenakan. Pihak kerajan melalui Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) telah mula membangunkan prasarana untuk mengembangkan pentauliahan kemahiran. Satu jawatankuasa petugas yang dianggotai oleh agensi-agensi latihan kemahiran/vokasional termasuk Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan telah dibentuk pada 17 Mac 1992 untuk menjalankan kajian tentang perubahan fundamental dan seterusnya memajukan lagi sistem latihan vokasional sedia ada.

Di antara rumusan dan cadangan hasil kajian jawatankuasa petugas yang telah dibentangkan dan menerima mandat dalam Mesyuarat Anggota Majlis Latihan Vokasional 9 Disember 1992 ialah :-

i. Mewujudkan rangka kerja kelayakan vokasional(vocational qualification framework) yang meliputi bidang pekerjaan yang lebih meluas.
ii. Mengubahsuai piawaian ketukangan kebangsaan yang sedia ada dari ‘job based’ yang terlalu spesifik kepada ‘occupational-based’ yang lebih generik supaya lebih ‘flexibl
iii. Membuka lebih luas peluang mempertingkatkan kelayakan vokasional dengan memperkenalkan’Accredition of Prior Achievement’ (APA) dan ‘Accredition of Prior Learning’ (APL) supaya lebih ramai pekerja yang berpengalaman dapat diberi pengiktirafan sewajarnya tanpa melalui ujian kemahiran. Ini akan menjimatkan wang dan tenaga untuk menguji kemahiran yang sememangnya telah dimiliki oleh seseorang pekerja berpengalaman.
iv. Mengubahsuai kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ada sekarang dengan mewujudkan satu Sistem Kelayakan Vokasional Kebangsaan (KVK). SMK Peringkat Asas, Pertengahan dan Tinggi akan digantikan oleh KVK Tahap I, Tahap II dan Tahap III di mana Tahap I dan II diletakkan di peringkat operasi dan pengeluaran dengan memuatkan kemahiran teras seperti kemahiran komunikasi. ‘information technology’dan ‘numeracy’ di samping kemahiran vokasional dan KVK Tahap III diletakkan di peringkat penyediaan dengan memuatkan kemahiran pengurusan.
v. Memastikan jaminan mutu (quality assurance) latihan vokasional dengan mewujudkan satu mekanisme assessment and verification yang sesuai untuk pelatih-pelatih di industri latihan dan juga pekerja industri.
vi. Melaksanakan latihan secara modular supaya sistem ‘assessment and verification’ dapat dijalankan dengan berkesan.

Kelayakan kemahiran individu yang telah menjalani program latihan juga akan diiktiraf dan dikenali pada peringkat kebangsaan. Di bawah sistem ini juga reputasi, pentauliahan, pengiktirafan dan pendaftaran penyedia latihan (training providers) dapat dikawal agar semua pusat latihan berusaha supaya kursus latihannya ditauliah dan program latihannya diiktiraf serta institusi mereka berdaftar dengan MLVK untuk menjalankan kursus dan program latihan di mana-mana dalam Malaysia.

4.0. CABARAN MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL
4.1 Pemupukan Budaya Pendidikan Untuk Seumur Hidup
Menurut George R. Knight, pendidikan bukan hanya terhad kepada pembelajaran di peringkat sekolah sahaja, malah ia lebih merupakan suatu proses pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan menjelang Abad ke-21 bukan sahaja untuk memberikan pelajaran asas kepada pelajar-pelajar sekolah sahaja, bahkan ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap individu yang berminat untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran diri sendiri mengikut perubahan semasa.

Ini adalah selaras dengan Matlamat Pendidikan Negara yang bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan menghayati ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, program pendidikan lanjutan perlu diwujudkan bagi membolehkan latihan tambahan diberi kepada mana-mana individu yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya. Kemahiran tambahan sedemikian adalah perlu untuk seseorang itu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa agar ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu tidak akan statik dan ketinggalan zaman.

Masyarakat Malaysia secara umumnya perlu diberikan kesedaran terhadap kepentingan program pendidikan lanjutan. Kejayaan program pendidikan lanjutan di luar negeri sepatutnya dijadikan ikhtibar bagi mewujudkan program pendidikan lanjutan tempatan. Sebagai contoh di Hong Kong, mengikut perangkaan yang diperolehi pada tahun 1984, jumlah peserta yang mendaftar untuk kursus peningkatan kemahiran adalah jauh lebih besar dari yang mengikuti kursus juruteknik. Salah satu halangan kepada perkembangan program pendidikan lanjutan adalah disebabkan oleh jadual kursus yang rigid dan lokasi pusat latihan yang tidak sesuai.

Program pendidikan luar kampus, S.P.A.C.E . (School Of Professional And Continuing Education) yang sedia ada, sungguhpun mempunyai jadual waktu yang agak fleksibel, namun ia masih tidak dapat memenuhi permintaan orang ramai disebabkan pilihan lokasinya yang terhad. Individu-individu yang berminat mungkin terpaksa melupakan hasrat mereka memandangkan mereka berasa sukar untuk meluangkan masa untuk menghadiri latihan kerana urusan kerja yang sibuk dan terikat dengan keluarga masing-masing. Oleh itu, bagi menggalakkan penyertaan golongan bekerja dalam program pendidikan lanjutan, latihan yang ditawarkan seharusnya mudah diikuti dari segi kesesuaian tempat dan masa. Disamping itu, latihan tersebut juga perlu menjurus kepada bidang yang berkaitan dengan kehendak individu dan juga pihak industri.

Namun begitu, cabaran kepada pendidikan masa kini ialah untuk menyediakan prasarana yang sesuai untuk perlaksanaan aspirasi program pendidikan lanjutan tersebut. Salah satu cara untuk mencapai matlamat ini adalah dengan mengembangkan penggunaan Pendidikan Jarak Jauh (distance education). Pendidikan Jarak Jauh merujuk kepada kaedah pembelajaran yang melibatkan perpisahan antara pelajar dan pensyarah dalam suatu program penyampaian bahan mengajar yang teratur dan menggunakan media berteknologi tinggi seperti 'teleconferencing'. Pendidikan Jarak Jauh adalah lebih merupakan sejenis pendidikan bukan formal (informal education) yang ditujukan khas untuk golongan pekerja atau profesional yang ingin meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan sains dan teknologi.

Ia adalah sejajar dengan saranan Yang Berhormat Dato Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa perlunya pendekatan 'Individuals-Oriented' dalam sistem pendidikan negara, yang mana aspek pembelajaran individualistik ditekankan. Pengalaman negara Indonesia, Thailand dan India menunjukkan penyebaran ilmu yang berkualiti dapat dilaksanakan dengan kaedah Pendidikan Jarak Jauh. Malaysia mempunyai asas yang membolehkan pendidikan menerusi sistem ini dijalankan. Apa yang kurang cuma bahan-bahan bantuan (software) dan kesungguhan melaksanakannya. Mengikut Profesor Ungku Aziz, terdapat tiga peringkat yang boleh menjayakan program Pendidikan Jarak Jauh:
a. Kursus-kursus di peringkat maktab, institusi dan universiti untuk pelajar-pelajar.
b. Kursus berbentuk pendidikan lanjutan kepada mereka yang sudah bekerja yang berminat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri, contohnya bbagi kursus pengurusan dan perakaunan.
c. Orang-orang dewasa yang berminat untuk belajar semata-mata kerana dahagakan ilmu. Antara contoh kursus yang dimaksudkan ialah penulisan kreatif, bahan, teknik pertanian dan lain-lain lagi.

4.2 Persepsi masyarakat
Persepsi Masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional yang sering memandang rendah pada pelajar-pelajar sekolah vokasional sebagai pelajar yang gagal dalam bidang akademik masih menebal di kalangan masyarakat. Ramai juga dikalangan ibubapa, terutama Pegawai Tinggi Kerajaan kurang menggalakkan anak-anak mereka yang berminat dalam bidang kemahiran untuk meneruskan pengajian dalam bidang teknik dan vokasional (Yahya, 1993).

Perasaan ini timbul kerana di masa lalu murid-murid yang memasuki sekolah vokasional adalah terdiri daripada mereka yang berkelulusan rendah dalam peperiksaan SRP atau kini PMR dan gagal untuk meneruskan pengajian ke tingkatan empat di sekolah akademik. Selain daripada itu, pendidikan ini dikaitkan juga dengan mereka yang gagal meneruskan pengajian akademik bagi mencapai cita-cita mendapat pekerjaan berkolar putih. Oleh itu perlu ada usaha untuk mengubah tanggapan masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional ini melalui kempen-kempen penerangan. Kempen ini boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah dengan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan cara mewar-warkan kejayaan lulusan pendidikan Teknik dan Vokasional (Yahya Emat, 1993).

4.3 Meningkatkan bilangan Sekolah dan Institut Kemahiran.
Meningkat dan membuat penambahbaikan terhadap sekolah vokasional dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelajar yang tercicir untuk mengikuti aliran teknik dan vokasional. Disamping itu juga, Kementerian Pelajaran juga telah menubuhkan dua buah Matrikulasi Teknikal pada tahun 2009 bagi memberi laluan peningkatan kepada pemilihan pelajar di Institut Pengajian Tinggi dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Usaha ini dilakukan oleh kerajaan supaya pendidikan teknik dan vokasional dapat melahirkan pelajar-pelajar yang dapat memenuhi kehendak negara.

Hal ini menunjukkan pendidikan teknik dan vokasional berperanan dalam memberi ruang kepada semua pelajar untuk mendapat pendidikan dan kekal dalam sistem persekolahan. Secara tidak langsung ia akan dapat membantu mengatasi masalah keciciran pelajar di sekolah serta dapat menjamin kualiti tenaga kerja yang akan dihasilkan bagi menguruskan organisasi dan perkhidmatan pada masa hadapan.

5.0. HARAPAN MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL
5.1 Menaikkan Taraf Lulusan Dalam Bidang Pendidikan Teknik dann Vokasional
Pendidikan juga mempunyai peranan untuk memberi penerangan bahawa tidak ada bezanya di antara sistem pendidikan vokasional dan akademik. Sungguhpun Presiden Pertubuhan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Abu Bakar Shauket Ali pernah menyeru kepada pihak kerajaan untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang gagal dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi memperolehi latihan vokasional. Tetapi ini tidak bermakna bahawa sekolah-sekolah vokasional yang sedia ada telah diturunkan tarafnya.

Sikap memandang rendah terhadap pelajar-pelajar sekolah vokasional sebagai gagal ke sekolah akademik masih menebal di kalangan kita. Setengah ibu bapa berasa malu pada jiran-jiran apabila anak mereka bersekolah aliran vokasional. Mesipun sering kali ditegaskan bahawa masa depan bagi lepasan sekolah vokasional yang bercorakkan kemahiran adalah cerah, namun pada hakikatnya tanggapan orang ramai terhadap pendidikan vokasional sukar dikikis. Akibatnya, hanya sejumlah 7% pelajar-pelajar PMR kita yang berminat untuk memasuki sekolah vokasional dan teknik berbanding dengan di negara perindustrian seperti Jerman di mana 70% daripada lepasan sekolah ditempatkan untuk latihan vokasional. Di sini, masyarakat khususnya golongan remaja haruslah mengubah sikap dan pandangan mereka terhadap pendidikan vokasional. Dengan wujudnya peluang-peluang pekerjaan yang semakin meluas, gaji yang lumayan dan kenaikan pangkat yang lebih cepat dalam sektor pekerjaan vokasional, pandangan masyarakat harus berubah dan memandang tinggi terhadap pekerjaan kolar biru. Selagi jurang ini masih wujud maka sukarlah untuk menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti bidang vokasional.

Namun begitu, berbagai-bagai usaha telah dijalankan bagi mengalihkan pandangan masyarakat agar beranggapan positif terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Contohnya, dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), telah ditekankan terhadap nilai-nilai yang tinggi seperti berkeupayaan untuk bekerja keras, semangat untuk memajukan diri, etika kerja yang baik, disiplin dan semangat untuk bersaing. Dalam kurikulum baru ini, mata pelajaran baru iaitu Kemahiran Hidup Bersepadu telah diperkenalkan. Ini secara tidak langsung akan mendedahkan pelajar-pelajar aliran akademik kepada pendidikan teknik dan vokasional.

Selain daripada itu, sistem pendidikan juga perlu untuk menyedarkan orang ramai bahawa peluang dan laluan memang disediakan bagi lulusan dalam bidang kemahiran. Peluang melanjutkan pelajaran untuk lepasan sekolah vokasional kini sebenarnya sudah tidak terhad hanya kepada politeknik atau institut kemahiran sahaja malah para pelajar aliran teknik dan vokasional boleh terus menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi awam seperti UniKL, British Malaysian Institute, UKM, UM, Kolej-kolej Universiti dan banyak lagi universiti di dalam dan diluar negara yang diiktiraf oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Oleh yang demikian, peluang untuk peningkatan ilmu bagi lulusan bidang vokasional sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Disamping itu juga, pekerja-pekerja dalam sektor industri juga boleh menyambung pengajian dalam bidang akademik jika mampu.
Dengan itu, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan perlu bersikap lebih terbuka dalam memberi peluang kepada golongan pekerja ini bagi melanjutkan pelajaran mereka.

Pengiktirafan sijil kemahiran seperti Sijil Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) supaya setaraf dengan akademik juga perlu diterima segera sebagai usaha untuk menaikkan taraf lulusan dalam bidang teknik dan vokasional ini. Dari segi kualiti pendidikan vokasional pula, tenaga pengajar di institusi latihan teknik dan vokasional perlulah mempunyai pengetahuan yang terkini, berorientasikan industri dan mempunyai pengalaman bekerja dalam industri. Justeru itu, tenaga pengajar amat digalakkan untuk menjalani kerja-kerja perundingan di industri, menghadiri kursus-kursus latihan teknikal jangka pendek dan diadakan pertukaran kakitangan antara institusi pendidikan teknik dan vokasional.

5.2 Membuka Ruang Dan Peluang Kepada Golongan Tercicir
Ruang dan peluang kepada golongan tercicir untuk mengikuti latihan anjuran pendidikan teknik dan vokasional juga perlu dibaiktambah dari masa kesemasa bagi memperkasakannya terutama dalam menarik minat pelajar-pelajar yang mengalami keciciran di dalam sistem pendidikan formal negara untuk memilih sistem pendidikan teknik dan vokasional sebagai satu peluang untuk berjaya. Berdasarkan buku Pembangunan Pendidikan (2001 – 2010) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan peratusan pelajar yang masuk ke tahun satu dan berjaya menamatkan pendidikan hingga ke tingkatan 5 di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan telah meningkat 65.0 peratus bagi kohort 1988-1998 kepada 79.8 peratus bagi kohort 1990-2000.

Kadar keciciran pelajar tingkatan satu ke tingkatan dua adalah sebanyak 2.4 peratus dan daripada tingkatan dua ke tingkatan tiga adalah sebanyak 3.7 peratus. Manakala sebanyak 7 peratus pelajar pula meninggalkan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan setelah mengambil peperiksaan PMR. Kadar keciciran pelajar tingkatan empat ke tingkatan lima adalah sebanyak 4 peratus. Keadaan ini perlu dilakukan suatu gerakkerja khas bagi memastikan golongan yang tercicir ini tidak akan terus tertinggal kebelakang. Justeru itu sistem pendidikan teknik dan vokasional perlu diolah agar ia dapat disesuaikan dengan golongan yang tercicir ini. Keadaan ini setidaknya akan membantu mencorak kehidupan pelajar tersebut di masa akan datang.

Pada masa ini, pihak kerajaan perlu membuka ruang dan peluang kepada golongan ini dengan cara membuka lagi sekolah-sekolah vokasional atau teknik bagi meningkatkan lagi kapasiti pengambilan pelajar khasnya untuk program-program yang direka khas untuk golongan pelajar yang tercicir ini. Keadaan ini setidaknya akan menyeimbangkan bilangan kemasukan pelajar ke sistem pendidikan negara sejajar dengan matlamat sistem pendidikan negara masa kini. Berdasarkan buku Pembangunan Pendidikan (2001 – 2010) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia Menunjukkan Sistem pendidikan telah menetapkan dasar 60:40 bagi jurusan sains/teknikal:sastera. Kedudukan pada tahun 2000 menunjukkan pencapaian ini masih jauh daripada sasaranya dimana hanya 27.7 peratus sahaja yang pelajar memilih jurusan sains dan teknikal.

6.0 PENUTUP
Sebagai rumusan, beberapa langkah yang wajar perlu diberikan perhatian oleh semua pihak bagi menyahut cabaran-cabaran perubahan di dalam usaha untuk memperkasakan sistem pendidikan teknik dan vokasional agar pengurusan organisasi dan perkhidmatan menjadi lebih baik dimasa hadapan, antaranya adalah seperti berikut :-
1. Masyarakat perlu mengubah sikap yang selama ini memandang rendah terhadap pendidikan teknik dan vokasional.
2. Industri perlu terlibat dalam perancangan kurikulum dan perkembangan pendidikan vokasional agar latihan yang diberikan kepada pelajar dapat dihubungkaitkan dengan dunia pekerjaan yang sebenar.
3. Program vokasional mestilah disokong oleh polisi yang kukuh serta dibantu sepenuhnya oleh sistem pentadbiran dan politik yang ada.
4. Pendidikan sekolah aliran akademik mulai peringkat yang terendah sehinggalah ke sekolah menengah perlu diterapkan komponen-komponen latihan vokasional.
5. Pihak swasta perlu digalakkan untuk memberi sumbangan kerana beban dan kos untuk membiayai pendidikan vokasional adalah terlalu tinggi.
6. Program vokasional yang khusus untuk sesuatu pekerjaan perlu diperkuatkan pada peringkat tertinggi seperti institusi pengajian tinggi, maktab-maktab dan persekolahan peringkat menengah atas.
7. Perkembangan sistem vokasional pada masa depan seharusnya memberi peluang kepada sesiapa saja yang berminat tanpa mengira kedudukan sosio-ekonomi mereka.
8. Kursus-kursus sambilan hujung minggu atau luar waktu kerja perlu diadakan untuk tujuan meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja supaya sejajar dengan perkembagan teknologi.
9. Pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam pembangunan pendidikan vokasional perlu diberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi untuk dihayati implikasi teknologi baru kepada sistem pendidikan.
Sebagai kesimpulan, pendidikan vokasional haruslah berhadapan dengan beberapa cabaran agar dapat diperkasakan demi memastikan pengurusan organisasi dan perkhidmatan di Malaysia dapat memenuhi matlamat negara menjelang wawasan 2020. Sikap masyarakat sendiri juga perlu diubah agar dapat memberi pandangan yang lebih positif terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Walaupun perubahan dari segi sikap dan nilai sesebuah masyarakat itu akan memakan masa yang lama, namun usaha-usaha perlulah dijalankan mulai dari sekarang. Generasi muda perlulah ditanam dengan sikap dan norma kehidupan yang baik agar mereka mampu menjadi pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi.

Cabaran untuk memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional sememangnya adalah besar sekiranya Negara ingin mencapai taraf negara maju dalam tahun 2020. Tidak dinafikan bahawa asas sudah ada dalam pendidikan teknik dan vokasional pada masa ini yang mana ia akan membolehkan semua pihak yang berkepentingan untuk merancang menuju ke arah cita-cita tersebut. Namun begitu, dengan persaingan yang akan dihadapi pada tahun-tahun akan datang khususnya dalam kegawatan ekonomi yang melanda negara kini, tenaga manusia yang bakal dilahirkan oleh pendidikan teknik dan vokasional haruslah mempunyai daya saingan dan peka kepada perubahan yang berlaku sekelilingnya. Mereka mestilah mempunyai kemahiran yang secukupnya dan menjadi pekerja yang terpelajar. Penduduk yang terpelajar akan mengukuhkan ekonomi dan dari kekuatan ekonomilah terbinanya negara yang kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa.

RUJUKAN
1. Mahathir Mohamad (1991) Malaysia: Melangkah Ke Hadapan (Wawasan 2020).
Jabatan Percatakan Negara.
2. Siti Maspiah Hassan;Nor azizah Salleh (1995). Pendidikan Vokasionmal:
Formal Dan Normal Ke Arah Wawan 2020. UKM.
3. Isahak Haron, (1992).”Aliran Perkembangan Pendidikan dan Pembentukan
Malaysia Sebagai Negara Industri Dalam Abad ke-21.UPM.
4. Yahaya Emat. Cabaran Dan Strategi Pendidikan Teknik Dan Vokasional Ke Arah Mencapai Wawasan 2020.KPM.

14 comments:

  1. Dear sir i would like to quote some of your words in my journal writing for scholar purpose. With your permission please allow me to make your post as my reference

    ReplyDelete
  2. salam alaik encik.
    izinkan saya untuk mengambil sebahagian ayat dari blog ini.
    terima kasih,.
    :)

    ReplyDelete
  3. Dear sir i would like to quote some of your words in my journal writing for scholar purpose. With your permission please allow me to make your post as my reference

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum. dear sir.. i wourld like to quote of your words in my asingment. with your permission please allow me to make your post as my reference ... from gokusan cumils

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum. dear sir.. i wourld like to quote of your words in my asingment. with your permission please allow me to make your post as my reference .

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum. dear sir.. i wourld like to quote of your words in my asingment. with your permission please allow me to make your post as my reference .

    ReplyDelete
  7. bodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabi

    ReplyDelete
  8. bodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabibodohbabi

    ReplyDelete
  9. assalamualaikum. dear sir.. i wourld like to quote of your words in my asingment. with your permission please allow me to make your post as my reference .

    Reply

    ReplyDelete
  10. assalamualaikum. dear sir.. i wourld like to quote of your words in my asingment. with your permission please allow me to make your post as my reference

    ReplyDelete